RSS

Guru-guru...tahukah tentang Autisme?

Guru-guru. kita sering mendengar tentang perkataan Autisme. Tetapi tak ramai di antara kita yang mengetahui dengan lebih mendalam mengenai gejala autisme ini. Dalam ruangan kali ini diharap kita para guru dan ibubapa dapatlah sedikit maklumat mengenainya.
Autisme adalah kecacatan perkembangan tegal (pervasive developmental disorder).Biasanya autisme dikesan seawal usia 3 tahun. Seseorang yang dilabelkan mengalami autisme ialah apabila terdapat gangguan pada pertumbuhan kemahiran yang melibatkan kepada kemunduran interaksi sosial dan komunikasi, diikuti dengan perlakuan dan minat yang luar biasa. Mereka juga menunjukkan cara-cara yang luar biasa dalam pembelajaran, pemerhatian, penumpuan dan penghasilan reaksi atau tahap kepekaan ransangan yang berbeza. Kadangkala mereka lebih suka hidup dalam dunia sendiri, kurang berinteraksi dengan orang lain dan kadangkala lebih bijak seawal usia 3 tahun.Buat masa ini, autisme boleh dirawat tetapi tidak dapat dipulihkan. Latihan awal sangat penting untuk perkembangan masa depan kanak-kanak yang mengalami masalah ini. Antara ciri-ciri kanak-kanak atau orang dewasa Autisme ialah:
  1. Tidak berminat dan selalu mengelak bertentangan mata dengan orang lain dan lebih selesa bersendirian.
  2. Menghadapi kesukaran dalam memahami perasaan orang lain atau berkongsi masalah/perasaan dengan orang lain.
  3. Sukar memberi tumpuan terhadap percakapan orang lain atau lebih mudah terganggu dengan bunyi-bunyi lain.
  4. Kerap mengulangi perkataan atau ayat yang diucapkan kepada mereka.
Jika warga SKKB ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang ciri-ciri orang yang mengalami Autisme ini bolehlah rujuk dengan Cikgu NorAsfahani atau Cikgu Mohd Sanni yang mengajar di kelas Pendidikan Khas SKKB. Selamat menambah ilmu pengetahuan ye.

*Penafian - UNTUK PENGETAHUAN SAHAJA. Semua bahan di dalam petikan ini adalah untuk pengetahuan sahaja dan bukanlah bertujuan untuk menggantikan khidmat nasihat,diagnostik atau rawatan doktor. Ia sekadar renungan buat semua terutamanya guru-guru bagi mengenalpasti murid-murid yang mengalami masalah pembelajaran.


Nak cuba buat camni?

Tadi saya baru sahaja memuatturun satu program kolaj yang agak menarik. Setelah mencubanya inilah hasilnya. Ingin mengetahui lebih lanjut tentangnya? Carilah di Shape Collage 2.1 di laman Softpedia.com. Selamat mencuba.

Selamat Hari Raya Qurban...

Ketawa...ketawa.


Sudah memang menjadi lumrah hidup, semakin meningkat usia kita semakin banyaklah masalah yang timbul hingga kadangkala kita berasa tertekan dengan hidup ini. Memang tidak dinafikan lagi dan keadaan yang sama juga kerap melanda diri saya sendiri. Baru-baru ini, saya ada terbaca mengenai pengalaman seseorang yang pulih dari penyakit hanya dengan ketawa. Memang tidak masuk akal kerana hanya dengan ketawa boleh membebaskannya dari penyakit yang dihadapinya. Kita harus sedar setiap penyakit itu disembuhkan oleh Allah dengan kehendakNya, namun dalam kes ini saya rasa medium penyembuhannya adalah melalui ketawa. Jadi oleh itu selalulah ketawa. Berikut saya sertakan beberapa kebaikan ketawa yang rasanya sesuai untuk dijadikan pengetahuan kita bersama.

  1. Menurut kajian, didapati semasa kita ketawa, kelenjar endokrin yang terdapat dalam otak akan mengeluarkan hormon endorfin (sejenis hormon yang membuatkan seseorang itu merasa seronok dan selesa)
  2. Ketawa akan membuatkan kita gembira dan seterusnya akan meningkatkan keyakinan diri malah menjadikan suasana persekitaran bertambah ceria.
  3. Ketawa juga dapat meningkatkan imunisasi tubuh. Secara tidak langsung penyakit-penyakit tertentu seperti batuk, selsema dan sakit tekak sukar menyerang.
  4. Kajian juga mendapati dengan ketawa mampu mengawal pelbagai jenis penyakit kronik seperti darah tinggi, sakit jantung, insomnia, tekanan perasaan, asma, migrain dan artritis.
  5. Selain itu, ketawa juga merupakan satu meditasi terbaik untuk mendapatkan ketenangan.
  6. Ketawa juga dapat membuang nilai-nilai negatif seperti rasa bersalah, ego, marah, takut, cemburu dan sebagainya.
Oleh itu, marilah kita mulakan hari-hari dalam hidup kita dengan perasaan gembira dan ceria. Redakan perasaan kita dengan ketawa bersama-sama rakan-rakan atau ahli keluarga. Ketawa tidak memerlukan bayaran malah percuma tetapi harus berpada dan bertempat. Janganlah ketawa secara tiba-tiba di khalayak ramai. Nanti disangkakan gila pula. Hahahahaaa...selamat bergembira di cuti sekolah ini.


Ketahui Petua dan Rahsia Makan Yang Baik

Tak kiralah hari apa pun, kita haruslah sentiasa menjaga tubuh badan supaya sentiasa sihat. Aidiladha pun tidak berapa lama lagi. Jadi di sini ingin saya kongsikan beberapa petua atau rahsia tentang pemakanan yang baik.Antara petua atau rahsia yang telah saya perolehi daripada beberapa sumber bacaan ialah:
  1. Mandilah sebelum subuh. Ini adalah kerana air sejuk yang meresap ke dalam badan dapat mengurangkan pengumpulan lemak dan dapat mengekalkan kelangsingan badan anda tau..
  2. Jangan tinggal makan malam! Sebab meninggalkan makan malam boleh meningkatkan paras kolesterol anda.
  3. Tidak mencampurkan makanan laut dan darat seperti ikan dan susu dalam satu hidangan. Rahsia ini dikatakan telah dibuktikan oleh saintis yang menemui ion positif dalam ayam dan ion negatif dalam ikan. Campuran kedua-dua ion itu dalam makanan dapat menghasilkan tindakbalas biokimia yang boleh merosakkan usus kita. Wow..gitu rupanye.
  4. Perbanyakkan minum air suam setiap pagi kerana dikatakan juga mampu menjauhkan kita dari penyakit.
  5. Makan dengan tangan dan kemudian jilatlah jari anda sesudah makan. Saintis telah menemui sebilangan enzim yang membantu proses pencernaan yang lebih banyak di celah jari, kira-kira 10 kali ganda dari enzim di air liur.
  6. Makanlah dengan perlahan! Tak perlu gelojoh dan tamak. Sebab perut kita memerlukan masa selama 20 minit untuk bertindakbalas dengan makanan yang diambil untuk terasa kenyang.
  7. Jangan juga mengambil terlalu banyak minuman berais dan bergas.
  8. Kurangkan pengambilan makanan yang berminyak, berlemak atau manis yang terlalu banyak.
Harus diingat ya, semua petua dan rahsia di atas adalah peringatan dan nasihat kepada kita semua dalam memilih cara makan yang betul. Sekiranya ada diantara anda yang tidak bersetuju, anggaplah ia sekadar menambah ilmu pembacaan anda. Apa yang penting, kesihatan kita tanggungjawab kita sendiri.

Detik-detik Akhir Persekolahan

20 hb November bersamaan dengan hari Jumaat adalah merupakan hari terakhir persekolahan bagi sesi 2009. Sibuk..sungguh sibuk guru-guru mengemaskan fail-fail peribadi dan kelas masing-masing. Terima kasih diucapkan kepada semua guru SKKB yang telah bertungkus lumus mengajar dan mendidik anak murid di Kg Bahagia ini. Labuhnya tirai tahun 2009 ini, maka berakhirlah tugas seorang guru mengajar di dalam kelas. Semoga tahun ini akan menjadi kenangan yang terbaik bagi guru-guru dan murid-murid SK Kg Bahagia. Terima kasih...




Jamuan Akhir Tahun

Tarikh: 18.9.2009
Tempat: Sutera Indah Teluk Intan
Masa: 8.00 malam

Pada 18hb November yang lepas, jamuan akhir tahun telah diadakan untuk semua staff SK Kg Bahagia. Semua guru dialu-alukan hadir ke jamuan tersebut dengan bertemakan pakaian "bebas". Macam-macam jenis pakaian guru ni terutamanya guru perempuan..ada jenis yang blink-blink, ada yang tudung labuh macam langsir dan yang bermata biru pun ada. Semuanya cantik-cantik belaka dan bau perfume pun dah mengalahkan bau lauk-pauk.

Guru lelaki pula telah menunjukkan ciri-ciri pakaian yang tepat dengan tema "bebas"..ada yang pakai T-shirt, seluar jeans, berbaju batik, dan hanya berselipar pun ada. Alhamdulillah mereka semua berbaju.

Jamuan telah dimulakan tepat pada jam 8.00 malam oleh Teacher Wan Teh yang berperanan sebagai pengacara majlis pada malam itu. Kemudian, majlis diserikan dengan ucapan daripada dua orang bekas staff SKKB iaitu Pn. Ruziah dan En. Azwanuddin. Pn. Ruziah baharu sahaja dinaikkan pangkat sebagai PK Koko ke SK Tanjong Bayan manakala En. Azwanuddin bertukar kerja ke TNB Manjong. Panjang sangat ucapan Kak Ruziah, mungkin memendam perasaan tidak berpeluang untuk bercakap selama ini. Manakala, ucapan ringkas malu-malu kucing En. Azwanuddin amat melegakan guru-guru lelaki yang dah tak sabar menanti hidangan yang hampir membeku.

Majlis diteruskan dengan hidangan selera oleh restoran Sutera Indah. Entah berapalah kos yang diperlukan pada malam tersebut dan yang pasti wang RM100.00 dari yuran tahunan kelab staf telah didahulukan. Kemudian, acara cabutan bertuah dan hadiah hari jadi telah memeriahkan lagi majlis pada malam itu. Berpuluh-puluh hadiah telah disampaikan dan diharapkan semua guru berpuas hati walaupun raut wajah penat jelas kelihatan pada malam tersebut.